Tuesday 19 January 2016

Perbezaan Kualiti Umur Berdasarkan Ibadah


" Andai ku tahu. 

Kapan tiba ajalku, 

Ku akan memohon 

Tuhan tolong panjangkan umurku..."

           Satu lirik lagu dakwah yang menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat diguna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat? Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama 'mati'. Seiring musibah, datangnya bersama hikmah.
             Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah berserta hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT dan Allah SWT bawa kita kembali dekat dengan-Nya untuk meraih jannah.
Musibah juga adalah saluran untuk merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka mengingati-Nya. Suatu paksaan untuk dekat dengan-Nya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya manusia yang bijaksana dengan mengingati mati dan membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati.
Ajal tidak ditangguh
Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya." (Surah al-A'raf, ayat 34)
Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan serta persediaan sebaiknya.
Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukkan lebih pendek di sisi ketetapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan Tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha daripada kita untuk memanjangkan usia.
Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia, usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah dengan amalan yang terus hidup walaupun kita telah tiada.
Bermodalkan harta, ilmu, akhlak, keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. Panjang umur bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup.
Jika diperhatikan dalam beberapa keterangan Nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturahim, berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan semua jenis amal kebajikan.
Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat al-Bukhari).
Kualiti usia boleh diperoleh menerusi amalan solat berjemaah seperti sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar: "Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali
Perbezaan kualiti umur
Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah berusia 20 tahun yang istiqamah menunaikan solat secara berjemaah. Setiap langkah ke masjid untuk solat berjemaah meningkatkan darjat dan langkah pulang menghapuskan dosa.
             Diriwayatkan daripada Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Riwayat Muslim)
Petua panjang usia juga dengan memanjangkan amal, ilmu, jasa di samping mengamalkan adab dalam Islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi 'panjang' ilmu dan abadi jasanya. Imam Syafie, Imam Ghazali tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.
Contoh lain, Umar ibn Aziz memerintah hanya kira-kira dua tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada, namun amalan masih hidup dan berterusan.
Beruntunglah pada mereka yang bergelar guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah legasi penyambung tugas Rasulullah SAW. Mereka memperoleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh dan amal jariah berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik yang diberinya tunjuk ajar.
Selain itu, rahsia kejayaan orang yang panjang umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan hidup dan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada orang seumpama ini.
Manfaat harta
Harta yang dimiliki usah disimpan semuanya, disalurkan ke jalan Allah SWT sebagai sedekah juga berupaya melipatgandakan usaha amalan. Harta yang menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah SWT dan harta yang disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.
Rasulullah SAW menggalakkan umat Baginda bersedekah walaupun hanya sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda, daripada 'Adi bin Hatim: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih bernilai dari bergedung-gedung harta."
Umar Ibn Aziz pernah mengungkapkan, mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki.
Sesungguhnya mati itu tidak diketahui tetapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah kematian itu hidup dalam diri kita kerana ingat mati akan 'menghidupkan' kita. Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat sebelum terlambat.



Oleh: Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Suntingan: Noorhayati Paradi


No comments:

Post a Comment