Monday 18 January 2016

S.A.R.T. SEBAGAI MEDIUM TINGKATKAN INTEGRITI MOA

PENGENALAN

Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.) Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani  merupakan saluran untuk warga Kementerian/ Agensi  dan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan perlakuan jenayah rasuah atau pelanggaran tatakelakuan. Walaupun kewujudannya nampak seolah-olah untuk mencari salah atau menimbulkan  masalah kepada mereka yang “bermasalah” .  Sebaliknya kepada warga kerja atau orang awam yang berakhlak dan berintegriti tinggi, ianya adalah medium yang memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membuat aduan atau memberi maklumat menyatakan rasa tidak puashati dengan tatakelakuan segelintir warga kerja yang melanggar peraturan kerja, tatatertib  atau melakukan jenayah rasuah yang boleh menjejaskan imej MOA dan agensinya. Kewujudan S.A.R.T. juga sebagai peringatan atau   amaran kepada mereka yang terlibat dengan tatakelakuan atau rasuah agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.


PANDUAN MENYALURKAN ADUAN RASUAH DAN PELANGGARAN TATAKELAKUAN
 
Bagi maksud tersebut, aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan boleh diklasifikasikan seperti berikut:

Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa;

Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan kepada peraturan/ Arahan Tetap/ Prosedur semasa menjalankan kuasa di bawah  undang-undang atau peraturan yang berkuatkuasa di bawah Kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian;

Jenayah Rasuah iaitu termasuklah apa-apa kesalahan meminta, menawarkan atau menerima suapan rasuah, kesalahan tuntutan palsu, kesalahan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan rasuah  dan lain-lain kesalahan ditetapkan di bawah  Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

BAGAIMANA S.A.R.T. BERFUNGSI

Secara umumnya, S.A.R.T. akan menilai aduan atau maklumat  diterima untuk tindakan selanjutnya iaitu;

Sekiranya aduan atau maklumat berkaitan tatakelakuan melibatkan salah laku dan salahguna kuasa di bawah Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan Dan Tatatertib) 1993 atau undang-undang atau peraturan berkuatkuasa di kementerian dan agensinya akan diambil tindakan oleh Seksyen Penyiasatan, Unit Integriti.

Sekiranya maklumat itu mencukupi  berkaitan dengan jenayah rasuah akan dirujuk segera kepada SPRM dan

Pengadu atau Pemberi Maklumat akan dimaklumkan status aduan atau maklumat yang disalurkan.

KAEDAH PENYALURAN ADUAN

Sehubungan itu, mana-mana  warga kementerian/agensi dan orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan kepada  Unit Integriti  melalui saluran Portal Rasmi www.moa.gov.my dan klik ke Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.).

Walau bagaimanapun saluran aduan  lain juga diterima iaitu;

(a) Menghadirkan diri di pejabat Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri   

 Asas Tani di alamat:

Unit Integriti

Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani

Aras 4, Blok Podium 1B-4G1

Wisma Tani, Presint 4, 62624 Putrajaya
           
(b)  Menulis surat ke alamat di atas;

(c)  Menghubungi telefon : 03-88701640

(d)  E-Mel: integriti@moa.gov.my

PANDUAN MEMBERI  MAKLUMAT  BERKUALITI

Sila pastikan aduan atau maklumat itu tidak terlalu umum untuk membolehkan pihak Unit Integriti atau SPRM bertindak sewajarnya. 

Kumpulkan maklumat diperolehi dan sampaikan isi penting seperti:

· Bila kejadian berlaku (When)

· Dimana kesalahan dilakukan (Where)

· Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)

· Apa kesalahan yang dilakukan (What)

· Kenapa kesalahan dilakukan (Why)

· Bagaimana transaksi rasuah atau pelanggaran tatakelakuan tersebut dilakukan  sekiranya ada (How)

Sekiranya aduan atau maklumat disalurkan melalui S.A.R.T., maklum balas status aduan atau maklumat akan dimaklumkan.  Unit Integriti tidak dapat bertindak ke atas  maklumat tidak lengkap atau terlalu umum dan tiada maklumat perhubungan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT

Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.

Seksyen 7,8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan seseorang pemberi maklumat yang telah mendedahkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah atau salahguna jawatan kepada SPRM atau penguatkuasa lain hendaklah diberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan dari tindakan sivil atau jenayah atau tindakan tatatertib dan perlindungan terhadap tindakan memudaratkan.

KEWAJIPAN ANDA MELAPOR RASUAH

Jika anda adalah Pegawai Badan Awam, adalah menjadi kewajipan anda melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan  rasuah oleh mana-mana orang.  Anda bersalah jika tidak melaporkan sogokan rasuah.  Jika disabitkan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya – Sek. 25(1), Akta  SPRM 2009.

Jika anda adalah orang awam,  adalah menjadi kewajipan melaporkan segera  daripadanya suapan rasuah diminta atau diperoleh secepat mungkin.   Anda bersalah jika tidak melaporkan segera suapan  rasuah itu.   Jika disabitkan anda boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya  - Sek. 25(3) Akta SPRM 2009.





Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin

No comments:

Post a Comment