Tuesday 26 January 2016

Tarbiah Ramadhan:Mendidik Penjawat Awam

Oleh : MOHAMAD FAUZI BIN HUSIN

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera.
Ramadhan setiap tahun datang dan pergi. Kedatangannya sangat ditunggu-tunggu oleh mereka yang beriman dan bertaqwa. Malah mereka sangat bergembira apabila datangnya bulan mulia ini. Manakala bagi mereka yang ingkar dengan suruhan Allah kedatangannya sangat merisaukan. Mereka risau kerana tidak boleh makan dan minum lagi pada siang hari dan sebagainya.
Kalau disingkap dari sejarah kebangkitan Islam, kita akan dapati pelbagai kejadian yang sangat menggoncang hati dan perasaan serta menguji keimanan hambaNya, diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang terdahulu ketika mana dalam bulan Ramadhan berlakunya peperangan Badar, pembukaan Kota Mekah, turunnya Al Quran, pembukaan Kota Mesir,  pembukaan Kota Andalus Sepanyol, Peperangan Ain Jalut  dan pelbagai lagi peristiwa yang sangat memberi impak yang mendalam diri setiap individu Muslim yang melalui pengalaman-pengalaman tersebut. Dari sini, para sahabat dan para pewaris perjuangan Rasulullah SAW yang terdahulu mengambil ujian yang diberikan oleh Allah SWT sebagai pemangkin kepada kehebatan iman mereka kepada Allah SWT.
Sekiranya kita ‘upgrade’ lagi cara kita melihat Ramadhan ini, dari pandangan sebagai seorang manusia yang tipikal kepada perjuangan Islam dan juga sebagai Penjawat Awam kita  tidak boleh  melihat bulan Ramadhan  hanya menjadi satu ‘pesta ibadah’ semata-mata. Kita tidak sahaja melihat perjuangan untuk bangkit di malam hari untuk bersolat qiamullail, bersahur, solat berjemaah, bersedekah dan amal jariah, membaca Al-Quran, membayar zakat, bersolat Tarawih dan lain-lain.  Ramadhan kini merupakan satu peluang mentarbiyah diri kita menyusun semula agenda perjuangan memikul amanah kepada organisasi dengan melaksanakannya bersungguh-sungguh kerana Allah SWT seperti mana para sahabat dan mereka yang terdahulu. Mereka sanggup, dalam keadaan lapar dan panas berpuasa, mereka mampu melakukan sesuatu yang besar dan hebat.
Sebagai penjawat awam, kita perlu menjadikan bulan Ramadhan sebagai wadah untuk meningkatkan kualiti kerja, meningkatkan integriti dan menjauhi dari perbuatan jenayah rasuah.  Ramadhan menawarkan pakej amalan yang penuh agenda harapan dan janji kemaslahatan untuk umat manusia. Pakej Ramadhan bukan saja mendidik peribadi umat Islam akan tetapi ia juga menjadikan  sesebuah organisasi perkhidmatan awam yang memberi manfaat besar kepada rakyat serta membentuk sebuah  negara yang cemerlang.
Marilah sama-sama merebut peluang meningkatkan integriti dan menanam azam untuk tidak melakukan perbuatan jenayah rasuah dan tidak melanggar tatakelakuan serta kita saling membantu bagi meningkatkan prestasi iman dan perjuangan dalam bulan tarbiyah ini.  Moga Allah SWT mempertemukan dan menjadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik pernah kita hayati selama mana kita hidup sehingga ini.

No comments:

Post a Comment