Thursday 4 February 2016

Diantara Derma, Hadiah dan Rasuah

Sejak mutakhir ini, polemik antara derma, hadiah dan rasuah sering diperkatakan atau menjadi viral dalam media social. Bila berbicara mengenai rasuah, pada kebiasaannya para penjawat awam atau pemimpin politiklah yang akan selalu dikaitkan dengan perlakuan jenayah rasuah.
Derma adalah satu pemberian berupa wang atau harta dalam jumlah tertentu kepada penerima. Penderma selalunya dikaitkan dengan orang kaya atau berharta memberi derma kepada orang miskin atau rumah kebajikan. Pemberi lazimnya tidak dijanjikan apa-apa oleh si penerima derma.  Tetapi si pemberi biasanya akan dapat melihat hasil dermanya. Misalnya, si penderma dapat melihat hasilnya dalam bentuk pembinaan masjid, rumah anak yatim dan sebagainya di samping ganjaran pahala atau mengharapkan pelepasan cukai pendapatan.   
Sukar untuk tentukan sama ada derma merupakan rasuah atau sebaliknya. Ianya bergantung kepada niat seseorang. Kita sebut derma tetapi ada niat disebaliknya seperti untuk mendapatkan sesuatu habuan. Ini kerana rasuah boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan ada kalanya bergantung kepada situasi masyarakat tertentu. Ada masyarakat mengatakan pemberian derma atau hadiah kepada penjawat awam tidak rasuah dan sebaliknya
Sedekah itu adalah pemberian yang bebas. Tiada jumlah atau barang yang ditentukan melalui pemberian ini. Penerima yang biasanya serba kekurangan seperti fakir miskin atau anak yatim  akan gembira dengan pemberian itu.  Pemberi pula hanya mengharapkan  pahala yang berlipat ganda tanpa memikirkan apa-apa lagi selepas pemberian itu.
Hadiah pula adalah pemberian atas sebab suka atau kasih sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan.  Hadiah boleh berupa cenderahati, hamper atau buah tangan kepada seseorang  tanpa perjanjian sebelum dilakukan sebagai mengenang budi atau balas jasa atau ianya juga boleh ditafsirkan sebagai suatu upah.  Hadiah yang ikhlas diberikan atas dasar kasih sayang  antara ahli keluarga dan persahabatan adalah digalakkan oleh Islam.. Hadiah satu jalan mengeratkan silatulrahim antara kita atas kejujuran dan keikhlasan jiwa.   Contohnya seorang penjawat awam menerima telefon bimbit atau hamper sempena hari lahirnya daripada sahabat karibnya, juga kontraktor tanpa diminta. Sahabatnya itu tidak pernah ada urusan rasmi  dengan penjawat awam itu atau jabatannya. Hadiah diberikan sebagai tanda ingatan ikhlas sahaja. Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan dalam Islam. Sabda Nabi s.a.w:
“Berilah hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi”        (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
Rasuah pula  adalah pemberian samada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Rasuah adalah jenayah dalam bentuk penyalahgunaan jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi,  saudaranya atau sekutunya.  Rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu, memberi atau menawarkan rasuah,  meminta atau menerima rasuah sama ada dalam bentuk  wang, hadiah, derma, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan  untuk mendapatkan suatu  di luar saluran sah di sisi undang-undang.





VS
  '''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''
Menurut Islam, rasuah amalan keji dan dilaknati Allah SWT. Ada kalanya rasuah bersalut hadiah yang diberikan kepada seseorang untuk mewajarkan tindakannya menurut undang-undang. Allah SWT berfirman;
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."         Al-Baqarah: 188.
Perbuatan rasuah adalah dosa yang besar. Sabda Nabi s.a.w:
“Allah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya (perantara)” (Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Bila Hadiah Menjadi Rasuah?
Pengertian hadiah dari sudut syarak seperti ditakrif oleh Mazhab Shafi’e dan Hambali ialah pemberian seseorang semasa hayatnya tanpa sebarang pertukaran sama ada berupa benda atau manfaat. Sekiranya pemberian hadiah atau derma mengharapkan balasan atau menharapkan lebih dari nilai pemberiannya, Iman Shafi’e berpendapat perbuatan itu haram hukumnya di sisi syarak kerana ia seumpama jual beli yang mengandungi unsur penipuan (Al-Mizan Bil.1/2002). Menurut Iman Al-Ghazali pula, sekiranya hadiah diberikan kepada orang yang berpengaruh atau berkedudukan jawatan disandang atau dengan maksud dia tidak akan diberi hadiah sekiranya tidak memegang jawatan tersebut, maka haram baginya menerima hadiah itu kerana ia seperti rasuah (Al-Mizan Bil. 1/2002)
Sekiranya hadiah diberikan atas sebab tugas rasmi melibatkan jawatan atau kedudukan yang dipegang, maka hadiah itu ialah rasuah.  Rasulullah SAW bersabda” Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: ˝Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?!˝ Demi ALLAH, dia (pegawai  berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan  pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya”.(Hadis Riwayat al-Bukhari)
             Mengikut Sek 3, Akta SPRM 2009, pengertian “suapan rasuah” termasuklah wang,hadiah, derma, komisen dan sebagainya.  Sek. 3 Akta ini  perlu dibaca bersama dengan jenis perlakuan rasuah mengikut bentuk kesalahan seperti di bawah  Sek. 16 dan 17 Akta ini. Secara umumnya Seksyen 16 dan 17 Akta ini menjelaskan mana-mana orang termasuk penjawat awam  yang bertindak bertentangan dengan urusan/tugas prinsipal masing-masing meminta atau menerima suapan rasuah sebagai dorongan untuk melakukakan sesuatu tindakan yang melibatkan urusan rasminya adalah melakukan rasuah.  Ini bermakna perlu dilihat dalam konteks keseluruhan fakta kes seperti siapa yang memberi, siapa menerima, apa yang diberikan, apa tujuan diberikan, apa balasan hasil pemberian itu dan sebagainya. Bukannya sesenang itu kita nak menyatakan derma atau hadiah itu sebagai rasuah.
Tujuan rasuah biasanya  untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia mungkin tidak akan dapat  tanpa sogokan tersebut.  Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”.
Ini bermakna, rasuah itu  menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya seperti tidak dapat kontrak walaupun dia layak, melambatkan giliran orang lain yang layak, mengagalkan peluang orang yang layak, tidak diambil tindakan undang-undang atau disaman. Rasuah itu dianggap sebagai pemberian keji dengan balasan. Hadiah pula  bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain. Pemberian kepada seorang penguasa  atau penjawat awam yang mempunyai kaitan dengan tindakannya serta mengganggu amanahnya dikira sebagai rasuah. Seseorang penguasa atau penjawat awam  hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. “Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah. Kesan itu sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, sekiranya pemberian itu di luar urusan rasmi tetapi atas dasar persahabatan maka ianya tidak rasuah.
             Hanya pemberi hadiah atau pemberi rasuah itu sendiri yang mengetahui niat hatinya. Adakah dia mengharapkan ganjaran Allah SWT atau ganjaran kebendaan berupa kontrak atau projek atau tidak diambil tindakan. Begitu juga, hanya pihak penerima hadiah atau penerima rasuah sahaja sama ada penerimaan itu memberi kesan kepada urusan rasminya atau tidak. Adakah pemberian tersebut akan menyebabkan dia terasa untuk akan membalas ‘budi’ pihak berkenaan dengan memberikan kepadanya apa yang bukan haknya, atau menzalimi hak orang lain?
Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat” (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW juga bersabda;
“Kebaikan itu apa yang menenangkan jiwa, sementara kejahatan itu keraguan dalam jantung hati, teragak-agak di dada sekalipun manusia memberi fatwa kepadamu ( ianya baik)  (Riwayat Ahmad dan al-Darimi dengan sanad yang hasan)
Rasuah  boleh menzalimi majikan seperti pegawai mengabaikan kualiti kerja disebabkan habuan yang disuap. Juga rasuah juga boleh menyebabkan ada pihak yang akan dihukum di sisi undang-undang atau hukuman Allah SWT.
Rasuah atas nama hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Jika rasuah berleluasa seperti sesetengah negara, rasuah berlaku dari sekecil-kecil suapan kepada pemandu bas di lapangan terbang, urusan passport sehinggalah pihak atasan dalam pelbagai urusan, menyebabkan orang miskin susah hendak berurusan kerana mereka tidak mampu memberikan ‘hadiah’ kepada pegawai-pegawai yang bertugas. Kualiti kerja menjadi rosak. Perasaan tanggungjawab terhadap tugas diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka rasuah merangkumi kesalahan pengkhianatan kepada tugas diamanahkan. Jenayah rasuah boleh meruntuh keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah masyarakat. Kata Saidina Ali  bin Abi Talib:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli.  Mereka  membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).
Rasulullah SAW bersabda;
             "Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwa ku ada di tangan Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!"
Apa jadi dengan Derma/ Hadiah Berupa Rasuah?
Menurut Mazhab Shafi’e dan Hambali, hadiah itu hendaklah dipulangkan kembali kepada tuannya kerana haram diterimanya. Ini berdasarkan maksud firman Allah SWT yang melarang umat Islam memakan harta orang lain dengan cara batil.  Oleh itu hadiah itu hendaklah dipulangkan kerana ia masih menjadi milik tuannya. Selain itu pemberian itu seperti ini dianggap seperti akad yang terbatal. Manakala Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat, pemerintah hendaklah merampas hadiah tersebut dan menyerahkan kepada  Baitulmal dan menganggapnya seperti barang tercicir yang dijumpai.  Ini kerana pemilik barang itu telah menyerahkan hak miliknya kepada penerima sedangkan penerima pula tidak berhak meilikinya, jadi wajarlah dijadikan harta orang Islam atau harta negara( Al-Mizan;Bil.1/2002).
Kesimpulan
Islam telah meletakkan hubungan sesama manusia melalui pelbagai cara termasuk pemberian hadiah, derma atau sedekah. Walaupun begitu, matlamat tidak boleh menhalalkan cara. Jangan salutkan rasuah berselindung atas nama derma atau hadiah sehingga tujuan asal pemberian itu,  maka yang sunat menjadi haram. Penjawat awam yang dilantik memikul amanah kepada rakyat hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan adil, merenung dirinya adakah pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah rasuah. Kesan itu samada secara langsung atau secara tidak langsung.
Disunting oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin


No comments:

Post a Comment