Thursday 4 February 2016

Tanda Sempurna Iman melalui Akhlak

Akhlak mulia adalah sebaik-baik perhiasan. Orang yang menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia, nescaya hatinya akan menjadi jernih, naik perilakunya dan memikat hati orang yang melihatnya. Berakhlak mulia juga dapat menyucikan diri daripada kotoran lisan dan hati. Dengan akhlak mulia seorang Muslim akan meraih kesempurnaan dalam imannya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya,” (HR Tirmizi).
Allah s.w.t memuliakan serta meninggikan kedudukan orang yang mempunyai akhlak mulia. Allah s.w.t memberikan kepada pemiliknya pahala yang besar dan terberat di atas Mizan (timbangan akhirat). Ini digambarkan dalam hadis Rasulullah s.a.w oleh Abu Darda r.a yang bermaksud:

“Tidak ada yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin melainkan akhlak yang baik, sesungguhnya Allah s.w.t membenci kekejian dan keburukan.” (HR Tirmizi)
Bagaimana melahirkan individu berakhlak
Akhlak mulia terbina daripada keimanan yang kental dalam diri individu seseorang Muslim dan pengaruh masyarakat di sekelilingnya. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam.
Rasulullah s.a.w adalah contoh utama pembentukan akhlak. Ini dijelaskan sendiri melalui sabda Baginda s.a.w yang bermaksud:

" Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia " (HR Ahmad)
Beberapa nilai baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu Muslim yang sempurna imannya ialah:
Amanah
Amanah merupakan sifat mulia yang sangat dituntut dalam islam. Setiap individu yang bergelar Muslim perlu memiliki sifat amanah dalam diri mereka. Ia adalah asas kepada ketahanan ummah, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan  itu akan amanahnya dan bertakwalah kepada Allah, Tuhannya.” (Al-Baqarah: 283)
Berlawanan dengan sifat amanah adalah sifat khianat. Syariat Islam sangat memberi perhatian berkaitan sifat amanah dan sekiranya kita tidak menjalankan amanah yang diberi, di akhirat kelak kita akan dipertanggungjawabkan di  hadapan Allah s.w.t di atas setiap perbuatan yang dilakukan di dunia ini.
Ikhlas
Sifat ikhlas adalah inti kepada setiap ibadah dan perbuatan. Ia juga melambangkan kesucian sesuatu kebajikan itu sama ada ianya ada hubungan dengan Allah s.w.t mahupun sesama manusia. Setiap pekerjaan dan perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas akan menghasilakn kemenangan dan kejayaan serta mencapai kebaikan di dunia dan akhirat. Tanpa keikhlasan, setiap kebajikan yang dilakukan tiada nilainya di sisi Allah s.w.t walau seberat timbangan sayap nyamuk sekalipun. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya yang bermaksud :
 “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.” (Al-Bayyinah: 5)
Ini jelas menunjukkan bahawa asas utama ibadah adalah keikhlasan diri kepada Allah s.w.t. tetapi apa yang diperkatakan juga keikhlasan sebenarnya meliputi seluruh aspek termasuk kehidupan.
Berdisiplin
Disiplin adalah asas kepada kejayaan. Kejayaan dan hasil kerja yang berkualiti hanya boleh dicapai dengan adanya disiplin dalam setiap diri individu. Dengan adanya disiplin, seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan sekali gus menghasilkan mutu kerja yang cemerlang, Sekiranya dia menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Sekiranya dia seorang pelajar, maka dia mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal pagi, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi segala peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin dia dapat melakukan perkara-perkara tersebut.
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk anak-anak mereka insan yang berguna.
Sabar
Sabar menurut bahasa bererti menahan serta mencegah diri. Dari segi istilahnya pula, sabar bererti menahan diri untuk tetap dalam ketaatan kepada Allah s.w.t, iaitu menahan diri daripada melakukan maksiat serta menahan diri daripada marah kepada takdir Allah s.w.t, baik dengan lisan, hati ataupun anggota badan.
Secara berurutan, sabar yang paling utama adalah sabar dalam melakukan ketaatan kepaa Allah s.w.t, kemudian kesabaran dalam menjauhi maksiat, dan tingkat ketiga adalah sabar dalammenghadapi musibah. Dalam melakukan maksiat dan ketaatan, seseorang itu boleh memilih, apakah dia ingin meneruskan untuk taat dan meninggalkan maksiat, ataupun untuk menyimpang daripada jalur ketaatan. Keadaan ini pastinya berbeza
dengan sabar terhadap takdir Allah s.w.t. Seseorang  itu tidak dapat memilih, baik dia bersabar ataupun tidak, dia tetap mendapat musibah itu, kerana sudah merupakan ketetapan Allah s.w.t.
Sebagai manusia yang lemah, kesabaran itu merupakan satu ujian yang sangat besar. Apabila kita melihat tentang sesuatu perkara yang menguji keimanan perkara yang dituntut tidak lain dan tidak bukan ialah sabar. Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi Muslim yang sempurna imannya seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t melalui firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Al- Imran: 200)
Disunting oleh Ustaz Shahrom



No comments:

Post a Comment