Tuesday 8 March 2016

SOAL JAWAB BERKAITAN PENERIMAAN/ PEMBERIAN HADIAH OLEH PEGAWAI BADAN AWAM


( Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi talian Unit Integriti MOA: 03-88701787 atau E-Mel kepada integriti@moa.gov.my )



1. Apakah yang dimaksudkan hadiah?
Bagi maksud Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 1998 ( PP 3/1998 ), hadiah termasuklah wang, tambang percuma, saham, tiket loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada diterima pegawai itu. ( Rujuk Para 4 - PP 3/1998 ). Dalam pengertian “Suapan” di bawah Seksyen 3, Akta SPRM 2009 pula, hadiah diterima termasuk kesalahan rasuah sekiranya penerimaan itu dengan niat sebagai dorongan atau balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu berkaitan tugas rasmi pegawai awam itu.

2. Adakah penerimaan atau pemberian hamper yang kecil nilainya di anggap rasuah?
Peneriman atau pemberian hadiah tidak kira kecil atau besar nilainya adalah menjadi satu kesalahan rasuah sekiranya pekerja yang mempunyai majikan ( termasuk pegawai badan awam dan swasta) menerima atau memberi hadiah sebagai balasan bagi sesuatu perkhidmatan atau tugasan rasmi daripada pembekal. ( Rujuk Para 12 – PP 3/1998 dan Akta SPRM 2009).

3. Bolehkan pegawai badan awam menerima hadiah dalam musim perayaan?
Pegawai badan awam ( termasuk pegawai kerajaan persekutuan, negeri, badan berkanun, GLC) tidak boleh menerima hadiah dalam apa bentuk sekalipun seperti hamper, Limau Mandarin, Ang Pau dan lain-lain yang ada hubungan dengan tugas rasminya. ( Rujuk Para 5 PP 3/1998 )

4. Bolehkah seorang pegawai badan awam menerima hadiah yang tiada kaitan tugas rasminya ?
Boleh diterima tetapi hendaklah sepadan iaitu nilainya kurang ¼ daripada emolumen atau kurang RM500.00 bagi makdsud hadiah yang diberi. Sekiranya tidak sepadan iaitu melebihi emolumen atau melebihi RM 500.00, maka ianya perlu melapor kepada Ketua Jabatannya untuk kelulusan melalui Borang Lampiran A- PP 3/98. Walau bagaimanapun jika nilainya melebihi RM 500.00 ianya boleh diterima dalam keadaan tertentu seperti hadiah diterima dari rakan sempena persaraan, pertukaran, pertunangan pegawai dan perkahwinan pegawai. ( Rujuk Para 7 PP 3/1998 ) Sekiranya pegawai badan awam masih ragu-ragu maka ianya boleh melaporkan penerimaan hadiah itu kepada Ketua Jabatan. ( Rujuk Para 8 PP 3/1998 )

5. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya hadiah seperti hamper atau jambangan bunga diletakkan di atas meja pegawai atau di rumah di mana pemberinya tidak diketahui ?
Bagi keadaan sedemikian, pegawai dinasihat untuk melaporkan kepada Ketua Jabatannya untuk membuat keputusan. Tindakan sedemikian bertujuan untuk menyelamatkan pegawai daripada ditohmah oleh pihak tertentu. ( Rujuk Para 6 PP 3/1998 )

6. Bolehkah pegawai badan awam menerima hadiah seperti duit raya, hamper dan Ang Pow semasa Majlis Rasmi ?
Merujuk Kepada Perkara 8(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Tatakelakuan dan Tatatertib ) 1993 , pegawai badan awam tidak boleh menerima atau memberi atau melalui pihak lain yang ada kaitan tugas rasminya. Walau bagaimanapun dalam keadaan yang sukar ditolak, dan merasa ragu-ragu maka dengan seberapa segera melaporkan secara bertulis kepada Ketua Jabatannya untuk kebenaran.( Rujuk Para 9 PP 3/1998 )

7. Bagaimana sekiranya nilai hadiah yang diterima kurang RM 100.00?
Jika nilainya kurang RM 100.00 perlu lapor tanpa kebenaran melalui lampiran B. ( Rujuk Para 10, 11 PP 3/1998 ). Hadiah itu pula nilai kurang dari RM100.00 berbentuk lencana atau barang kraftangan atau apa-apa bentuk bahan bercetak dihasilkan sendiri oleh jabatan bertujuan promosi jabatan; atau dalam bentuk barang cepat rosak dan tidak tahan lama seperti buah-buahan, kuih-muih, bunga dan sebagainya. Walau bagaimanapun dengan syarat pegawai badan awam itu sukar menolak pemberian itu kerana akan memalukan sipemberi atau menimbulkan keadaan serba salah seperti di majlis rasmi, seminar atau kursus di mana pihak penganjur tidak memaklumkan pemberian hadiah terlebih dulu ; atau semasa jalankan tugas rasmi di kampung, pemimpin masyarakat memberi buah-buahan, makanan atau hasil kerja tangan penduduk.

8. Sebuah syarikat swasta telah diberi tender membekal peralatan pejabat kepada Jabatan Kerajaan. Bolehkah jabatan terlibat menerima sumbangan berbentuk hadiah untuk meraikan Hari Keluarga jabatan?
Ketua Jabatan mempunyai syarat-syarat tertentu untuk memberikan kebenaran seperti Lampiran C PP 3/1998. Memandangkan Jabatan Kerajaan berkenaan telah menerimanya dan merasa ragu-ragu untuk diterima, maka penerimanya wajar melaporkan kepada Ketua Jabatanya secara bertulis untuk kelulusan. Sekiranya Ketua Jabatanya juga dalam makluman, maka ia perlu merujuk kepada pengurusan tertingginya untuk kebenaran. ( Rujuk Para 6 PP 3/1998 ) Sekiranya nilai sumbangan tiap-tiap satu hadiah nilai kurang RM 10,000.00 kebenaran daripada Ketua Setiausaha atau Pegawai Pengawal. Jika tiap-tiap satu hadiah bernilai RM 10,000.00Kebenaran Perbendaharaan. Tertakluk kepada Lampiran D PP 3/1998. (Rujuk Para 18 PP 3/1998 )

9. Seorang pegawai awam menerima jemputan bagi Majlis Berbuka Puasa dari sebuah Hotel. Bolehkah dia hadir?
Sekiranya tidak mempunyai urusan rasmi pegawai berkenaan boleh hadir. Walau bagaimanapun sekiranya pegawai atau jabatan mempunyai urusan rasmi jabatan wajar dirujuk kepada Ketua Jabatan untuk kebenaran agar tidak menimbulkan tohamahan. Dalam kes ini, ianya berbentuk keraian dan bukan hadiah. (Rujuk Para 14 PP 3/1998 )

10. Bolehkah Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan meminta dan menerima apa-apa sumbangan berupa barangan atau wang ringgit daripada luar yang tiada hubungan rasmi ?
Kelab Sukan dan Kebajikan tidak boleh memohon atau menerima apa-apa sumbangan secara terus daripada penyumbang samada orang perseorangan atau swasta. Ia perlu melalui Majlis Sukan dan Kebajikan (MAKSAK), yang kemudian mengagihkan sumbangan atau peruntukan masing-masing. ( Rujuk Para 21 PP 3/1998 )

11. Bolehkah sumbangan yang berbentuk cenderamata diberikan penceramah seorang penjawat awam ?
Boleh diberikan tetapi tidak digalakkan. Sekiranya hendak memberi disediakan berbentuk plaque yang tidak mahal, pennat, barangan kraftangan jabatan atau bahan cetak jabatan. ( Rujuk Para 20 PP 3/1998 )

12. Seorang pegawai kerajaan telah menerima wang tunai bernilai RM500.00 dalam Musim Perayaan daripada individu yang sering berurusan rasmi dengan jabatan dan dalam keadaan yang sukar ditolak. Beliau kemudian melaporkan kepada Ketua Jabatannya. Apakah yang perlu dilakukan oleh Ketua Jabatannya?
Tindakan pegawai kerajaan berkenaan adalah bertepatan dengan Peruntukan PP 3/1998 dan Akta SPRM 2009. Dari segi tindakan Ketua Jabatan beliau perlulah memikirnya dari segi kepentingan jabatan keseluruhannya. Memandangkan penerimaan wang itu ada unsur rasuah kerana melibatkan tugas rasmi dan nilainya tidak sepadan, maka Ketua Jabatan hendaklah mengarahkan pegawai itu memulangkan kembali kepada sipemberi.

13. Bolehkah seorang Pegawai Badan Berkanun menerima hadiah berbentuk hamper daripada seorang individu yang sering berurusan rasmi pejabatnya ?
Pihak Badan Berkanun juga tertakluk kepada PP 3/1998. Ianya tidak boleh diterima kerana berkaitan tugas rasmi dan dalam keadaan sukar ditolak perlu melaporkan kepada Ketua Jabatannya. Ketua Jabatan bolehlah mengarahkan pegawai itu memulangkan kembali kepada sipemberi.

14. Bolehkah pegawai badan awam menerima tambang tiket penerbangan percuma yang ada kaitan dengan tugas rasmi ?
Tidak boleh kerana menjurus kepada kesalahan jenayah rasuah di mana sebagai balasan bagi melaksanakan tugas rasmi yang telah diberikan. ( Rujuk Para 12 PP 3/1998, Sek. 165 Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009)

15. Bolehkah hadiah diberikan kepada ahli politik oleh sesebuah Jabatan Kerajaan?
Boleh. Hendak disediakan berbentuk plaque yang tidak mahal, pennat, barangan kraftangan jabatan atau bahan cetak jabatan. ( Rujuk Para 20 PP 3/1998 )

16. Bolehkah Jabatan Kerajaan menerima sumbangan daripada peruntukan Wakil Rakyat untuk sesuatu program yang dibuat secara Perkongsian Bistari ?
Boleh diterima tetapi mesti dengan kebenaran pihak pengurusan tertinggi seperti KSU/ Ketua Jabatan. Ianya secara tidak langsung bertujuan mencapai matlamat yang sama oleh Jabatan dan Wakil Rakyat. (Rujuk Para 18 PP 3/1998 )

17. Bolehkah pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memberikan sumbangan hamper kepada pihak Jabatan Kerajaan sempena musim Perayaan untuk menjalinkan hubungan dengan pelanggannya ?
Pihak GLC mungkin mempunyai polisinya tersendiri tentang pemberian atau penerimaan hadiah. Walau bagaimanapun sekiranya pemberiaan ini mempunyai niat jenayah sebagai mendapat tender dan sebagainya maka ianya menjadi kesalahan rasuah.

18. Bagaimana sekiranya pihak GLC memberi hadiah itu kepada pihak swasta sebagai mengeratkan perhubungan pelangganya?
Ianya bergantung kepada polisi syarikat GLC dan swasta berkenaan. Walau bagaimanapun jika mempunyai niat jenayah rasuah, ianya menjadi kesalahan di bawah Akta SSPRM 2009.

19. Bolehkah GLC menerima hadiah daripada individu atau syarikat swasta?
Ianya bergantung kepada polisi GLC. Walau bagaimanapun jika mempunyai niat jenayah rasuah, ianya menjadi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

20. Bolehkan pihak GLC memberikan sumbangan kepada Jabatan Kerajaan sebagai promosi kepada produk atau perkhidmatannya ?
Ianya bergantung kepada polisi GLC. Walau bagaimanapun jika mempunyai niat jenayah rasuah, ianya menjadi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.





No comments:

Post a Comment