Tuesday 26 January 2016

Kewajipan Ketua Jabatan

Kawal Tatakelakuan Pegawai Bawahan

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera.
Sebagai ketua jabatan sama ada di peringkat bahagian, cawangan, unit atau seksyen di kementerian, jabatan atau agensi, adalah menjadi tanggungjawab untuk sentiasa memberi peringatan dan menguatkuasakan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya.

Hasil semakan oleh Seksyen Pematuhan, Unit Integriti MOA mendapati masih ada di kalangan ketua jabatan diperingkat ibu pejabat, negeri dan daerah lemah atau gagal mengawal selia, memantau dan memastikan pegawai bawahan masing-masing mematuhi sistem dan prosedur kerja dan peraturan jabatan atau agensi yang berkuatkuasa serta tidak bertegas mengambil tindakan ke atas pegawai bermasalah. Salah satu tanggungjawab penting ketua jabatan yang sering dipandang remeh dan diabaikan ialah untuk memastikan pematuhan Surat Pekeliling Am Bil.11 Tahun 1981 berkaitan Sistem Penggunaan Perakam Waktu di pejabat masing-masing.

Di antara kesalahan dikenalpasti di atas kegagalan ketua jabatan ialah tiada penyeliaan dibuat ke atas pegawai yang gagal mengetip Kad Perakam Waktu masa datang atau balik kerja, tiada laporan bulanan disediakan, membiarkan pegawai memegang kad perakam waktu, tidak memberi surat tunjuk sebab kepada pegawai yang datang lewat atau tidak mengetip kad perakam waktu lebih tiga kali sebulan, membiarkan kad perakam waktu tidak bertandatangan oleh pegawai atasan bagi kes kelewatan, tidak ketip kad perakam waktu atau meminta pegawai lain mengetip kad perakam waktu dan tidak menukarkan kad perakam waktu kepada warna hijau atau merah setelah pegawai melakukan pelanggaran peraturan tersebut.

Peruntukan Perkara 3C(1)(2), Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Perkara 21(1)(2), Akta Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 dengan jelas meletakkan tugas dan tanggungjawab Ketua Jabatan dalam menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya. Sekiranya seseorang pegawai tersebut tidak menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya atau tidak mengambil tindakan ke atas pegawai bawahannya yang melakukan pelanggaran tatatertib, boleh disifatkan cuai dalam melaksakanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Perlu diingatkan bahawa integriti seseorang ketua jabatan sudah pasti akan dipertikaikan dan diperlekehkan oleh pegawai bawahannya jika mereka tidak melihat bukti bahawa ketua mereka tidak bertegas dan bersungguh-sungguh dalam mematuhi dan menguatkuasa peraturan itu. Sehubungan dengan itu, semua ketua jabatan perlu memandang serius bahawa mereka tidak boleh melepaskan diri dari tanggungjawab ini dan meletakkan tugas ini kepada pegawai bawahan tertentu sahaja untuk menjalankan tugas kawalan dalaman ini.

Oleh : MOHAMAD FAUZI BIN HUSIN

No comments:

Post a Comment